Scam business vending 1

Duduk diam dapat duit? hati-hati

Dipetik daripada Harian Metro

Saya kongsikan supaya anda tidak terjerat.

KUALA LUMPUR: Menawarkan pendapatan pasif sebanyak RM1,500 sebulan bagi sebuah mesin layan diri sekali gus membuatkan ‘pelabur’ gelap mata lalu melabur modal bagi menjana pendapatan secara mudah.

Begitu modus operandi dilakukan seorang lelaki yang didakwa licik melakukan penipuan menerusi perniagaan usahasama mesin layan diri.

Malah, lelaki berusia 30-an terbabit didapati kerap memuat naik iklan di media sosial dan laman web bagi menarik minat perhatian orang ramai untuk melaburkan dalam perniagaan itu.

Perkara terbabit didedahkan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Malaysia (PKMM) selepas lebih 10 mangsa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor tampil membuat aduan mengenai penipuan dilakukan oleh lelaki berkenaan.

Presiden PKMM, L Francis berkata, lelaki terbabit didapati giat melakukan penipuan dalam urusan pelaburan mesin layan diri sejak 2016 dan sehingga kini didapati masih aktif menjalankan kegiatan berkenaan.

“Dia menawarkan perniagaan usahasama mesin layan diri di mana pelanggan yang berminat perlu menyerahkan modal sekurang-kurangnya RM15,000 untuk membeli satu mesin layan diri.

“Semua urusan pembelian dan pemilihan lokasi untuk meletakkan mesin terbabit akan dilakukan lelaki berkenaan.

“Malah, urusan penyelenggaraan juga akan dilakukan oleh lelaki itu, dan ‘pelabur’ akan diberikan bayaran RM1,500 setiap bulan selama tiga tahun bagi setiap mesin,” katanya. ketika ditemui, baru-baru ini.Francis berkata, berdasarkan aduan diterima, lelaki terbabit membuat pembayaran wang RM1,500 kepada mangsa secara bulanan pada peringkat awal seperti yang dijanjikan.

“Pembayaran itu hanya dibuat kepada mangsa untuk tempoh beberapa bulan saja dipercayai bertujuan bagi menarik minat mereka untuk menambah lagi jumlah mesin layan diri.

“Sewaktu pembayaran insentif dilakukan lelaki terbabit akan memujuk mangsa untuk membuat tambahan mesin layan diri bagi mendapat bayaran lebih lumayan setiap bulan.



“Disebabkan pujukan itu, ada antara mangsa mambuat pinjaman bank untuk menambah jumlah mesin layan diri kerana pendapatan dari setiap mesin itu mampu memberi pulangan modal dalam tempoh tidak sampai setahun,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas membuat tambahan mesin lelaki terbabit gagal melunaskan bayaran bulanan yang dijanjikan dan memberikan pelbagai alasan kepada mangsa sebelum menghilangkan diri.

“Berdasarkan aduan mangsa mendapati lelaki terbabit hanya menggunakan mesin layan diri yang sama untuk ditunjukkan kepada individu yang melaburkan wang.“Lelaki itu dipercayai hanya memiliki 10 mesin layan diri di sekitar Selangor dan mesin itu digunakan untuk memperdayakan mangsa. Dia akan menunjukkan mesin sama kepada mangsa dengan mendakwa milik mangsa dan dibeli dengan modal mereka. Malah, sebuah mesin dipercayai dimiliki lebih tiga pelabur,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima sebanyak 42 laporan berhubung kes berkenaan di seluruh negara.“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati melakukan pembelian barangan terutama dengan individu yang dikenali melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:00 AM

Norizuan Shamsuddin dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*