KALAU KORANG SEMUA NAK TAHU MACAM MANA BENGKEL2 DAN LONGKAI (CALLMAN) BOLEH MENIPU KORANG DAN TERLEPAS DENGAN PENIPUAN DIORANG – Baca ni.
LINK BHGN 5 – https://www.speedvending.com.my/?p=2028
Kisah Benar Bahagian 6 – BERGELUT DENGAN BIRO PENGADUAN AWAM DAN SPRM
Balik daripada Tribunal tu aku makin susah sebab takde kereta sebab musim hujan dah bermula. Dari tempat tinggal bila nak kerja di hutan memang masalah juga la takde kereta. Aku bersyukur sangat-sangat ada je sahabat yang berkorban, membantu aku bermati-matian. Terima kasih sahabat, aku syukuri persahabatan denganmu. Muahhh brader. Hahahaha.
Aku buat transkrip rakaman aku dengan Boss Besar Ideal Globe Auto. Aku dengar betul-betul isi kandungan perbualan dia. Aku fikir nak buat report SPRM ke tak berkenaan towkey bengkel tu nak rasuah aku untuk bantu dia buat saman tuntutan palsu… Kes Tribunal dah tamat perlawanan dalam gelanggang. Tunggu Presiden je nak angkat tangan sapa dapat apa dan tak dapat apa-apa.
Aku fikir boleh ke percaya SPRM nih? Ke dah dijangkiti oleh kuman Tai-Chi atau dibolosi pengkhianat negara yang jugak? Bolehkah aku percaya lagi dengan agensi-agensi penguatkuasaan ni semua? Aku risau betul hal ni.. sampai aku stress dibuatnya. Aku tak lena tidur malam. Sedikit sebanyak aku depress, muntah-muntah memikirkan hal ni. Aku kena panggil backup ni…
Aku panggil lagi geng-geng enam jahanam aku untuk bergabung sel-sel otak dengan aku, tolong aku berstrategi. Tolong fikir dan hujah baik buruk serta perlaksanaan macam mana yang patut aku buat. Aku nak cari apa option aku yang ada. Dalam beberapa orang sahabat-sahabat, aku rencanakan agar teratur. Supaya aku tak kusut dan sesat dan keliru. Aku perlukan roadmap.
PERTAMA: “LAWAN DENGAN SIAPA? – Always know who or what is the real opponent”
Dalam kes aku ni, ada dua isu… Simptom dengan root cause.
Simptom dia adalah Polis yang korup, bersekongkol dengan LONGKAI penipu tu, PDRM & KPDNHEP & KAUNTER TRIBUNAL yang enggan ambik tindakan dan main ping-pang-pong kan kes aku ni beserta juga bengkel-bengkel yang menipu tu semua. Ni semua mesti dipertanggungjawabkan dan aku kena ambil tindakan terus.
Root cause dia pulak, adalah agensi-agensi kerajaan dan sistem mereka yang TIDAK TELUS, MENYULITKAN RAKYAT dan REPUT. Yang ini bagi kat Thanos pun dia tak boleh menang. Hanya ada satu kuasa saja yang boleh lawan – RAKYAT.
So… diputuskan kat sini aku ada 2 masalah untuk diikhtiarkan.
KEDUA; “LAWAN MACAM MANA? – Who or what can defeat the opponent.
Bagi simptom-simptom kereputan agensi kerajaan ni, aku putuskan bersama-sama tangkipikir (konon), hendaklah aku cuba untuk membuat aduan dengan menurut lunas undang-undang dan mengikut prosedur yang diwar-warkan pada rakyat. Sebab aku rakyat marhaen. Rakyat marhaen tak pegi mahkamah sivil mohon perintah Mandamus daripada hakim untuk paksa agensi kerajaan ni semua buat kerja. Rakyat marhaen macam aku, Mak Ngah Tijah, Boboi anak Pat Mat takde duit nak upah lawyer berbelas-belas ribu fee. Rakyat marhaen takde kenalan orang-orang kayangan membantu melicinkan urusan kroni. Rakyat marhaen cuma ada undang-undang dan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk jadi tempat mengadu. Aku rakyat marhaen, buat cara rakyat marhaen. So aku akan lapor pada Biro Pengaduan Awam (BPA) dengan lapor pada SPRM. Nak tengok berkesan ke tidak failsafe yand sedia ada ni. Ke dah reput jugak?
Aku tertanya lagi… boleh ke percaya SPRM nih? Akhirnya nasihat sahabat aku seorang aku ambil pakai; “Eh mangkuk, sapa lagi yang nak find out SPRM boleh harap ke tidak? Ko lah yang kena cuba. Tak cuba mana lah kita tahu!”
“Yela yela yela.. aku report SPRM jugak.” Sambil usap dahi yang kena lepuk dengan buku nota kawan aku tadi. Report Teledera kang baru ko taw. “Pasal root cause atau pun penyakit asal yang menyebabkan timbulnya simptom-simptom ni tadi, nak buat macam mana?”
“Kita bagi rakyat decide. Diorang nak berpendapat apa, nak fight ke tak nak itu atas diorang sendiri. Kau tukang menyampai je apa yang berlaku dalam kes ko dengan telus dan dengan detail, selaku tuan badan. Hak nak tuntut perubahan dalam prosedur, sistem dan amalan perkhidmatan agensi-agensi bukan hak ko atau tanggungjawab ko sorang tapi hak orang ramai.. Ko sorang beb. Pak Menteri semua, KSU-KSU kementerian, Ketua jabatan semua gelak je dekat ko walaupun ko tak lawak. ” Geng aku yang paling cilakak berbunyi sambil menghirup kopi dalam tin Wonda.
Ni bukan kami cakap nak tukar pemerintah, tukar kerajaan ke atau nak menderhaka kat YDPA ke.. Tukar la apapun kalau agensi ni semua tak dedahkan masalah diorang, macam tu la perkhidmatan kerajaan sampai kiamat. Diorang ingat diorang perfect dan bagus je memanjang. Menteri bertukar-sailang-pindah-tukar, tapi agensi yang ituuuuu jugak. Tapi bukan boleh dedah sesuka hati. Dedah berkenaan yang perjalanan kes aku ni jer. Aku ada hak nak bercakap pasal benda yang aku lalui dan alami je.
“Risiko dia ko sanggup tak terima?” Sorang lagi tanya pulak
Diorang senaraikan satu-satu la risiko, dari kena saman oleh agensi kerajaan sebab tohmahan, kena tangkap polis sebab memburukkan reputasi jabatan-jabatan, dapat perintah bengkrup sebab kena saman dengan pihak-pihak yang rasa dimalukan dan sebagainya. Video liwat ke? Kena rembat dengan getah paip ke? Orang korek habis semua kepincangan aku ke dan dedahkan untuk balas dendam? Ugutan ugutan yang berhijabkan nasihat ke? Bilanya menteri dengan penjawat-penjawat awam ni semua TIDAK DEFENSIVE? Mesti diorang akan lawan balik. Aku diam sejenak.
Mampukah aku? Hidup sebagai seorang bengkrap ke, banduan ke… Aku tenung jalanraya.
Sebiji Daihatsu Charade warna merah karat spontan lalu depan rumah kawan aku. Asap berkepul. Drivernya akak yang baru jual nasik lemak hujung simpang. Anak 4 semua sekolah lagi. Laki dia kena berenti kerja sebab MCO 1.0 sekarang jadi Grabfood naik motor Kriss. Dia pun ada masalah hari tu, tanya kat kawan aku buka kes bagai kat Jabatan Tenaga Kerja macam mana nak tuntut keadilan dari bekas majikan pasal pampasan dan gaji akhir dan potongan-potongan yang tak masuk akal, dan….
“…. Aku sanggup, bhai.”
“Okey… Lepas settle keputusan kes Tribunal ko November ni, ko repotlah. Sekarang cuba rileks dulu…”
KETIGA; “BILA YANG DIKATAKAN MENANG TU? – Winning and losing conditions.
Aku tak nak jadi sejenis manusia yang tak reti stand down. Jadi aku kena lah tahu bila dah menang dan perjuangan dah habis. Takkan la sebab kes ni satu je kat aku, aku nak mengamuk-ngamuk kat jabatan-jabatan kerajaan seumur hidup? Tu bukan berjuang, tu gila tak ada ubat namanya. Asal sebut jabatan ni jabatan tu, terus nak ngamuk-ngamuk ungkit yang jabatan tu begini dan begitu dalam kes aku dulu. Kita kena percaya dulu agensi-agensi ni BOLEH BERUBAH dengan motivasi dan ketelusan, kalau tak percaya agensi boleh berubah, buat menatang apa aku nak usaha ubah?
Pendek kata, kena ada objektif yang jelas menerangkan bila kita dah menang dan bila kita dah kalah.
Selepas bincang, aku rasa dalam kes Tribunal aku ni aku definisikan 2 condition menang iaitu
A ) Aku dapat kereta tanpa kos dan dah siap repair elok-elok ikut piawaian Proton.. Nak claim pun dah tak nampak jalan sebab adjuster report tu entah wujud ke tidak.
B ) Penentang-Penentang tu dapat pengajaran dari segi undang-undang setimpalnya.
Dalam kes-kes agensi yang ping-pong-ping-pang aku pulak tu, aku tetapkan asalkan aku boleh dokumentasikan betul-betul apa yang rakyat akan dapat kalau buat laporan berkenaan kepincangan agensi kepada BPA (Biro Pengaduan Awam), dah dikira settle objective. Nak report the facts je.
Pasal AIO Sjn yang bersekongkol dengan LONGKAI tu dan dengan LONGKAI tu sekali, aku nak report dekat SPRM dan BPA.
Dan akhir sekali nak lapor tentang percubaan Big Boss Ideal Globe Auto merasuah aku untuk buat tuntutan palsu tu.. Mungkin kat SPRM, kat PIAM? BANK NEGARA? Kita orang KIV dulu tentang dia ni sebab nak tunggu kes dapat keputusan dulu. Jenayah ni tak ada limit, bila pun boleh report. Cuma tuntutan sivil macam kes Tribunal aku ni je ada limit 3 tahun. Statute of limitation nama dia. Ini tanggungjawab sivil aku nak dokumentasikan dan serahkan kepada rakyat-rakyat marhaen lain seangkatan dengan aku.
Berkenaan root cause yang menyebabkan semua simptom-simptom ni bermaharajalela, aku letakkan condition kejayaan sebagai kesedaran rakyat mengenai hak masing-masing. Rakyat lah yang bertanggungjawab dalam hal ni. Untuk belajar hak masing-masing dan untuk pastikan Menteri dengan KSU dalam kementerian yang berkenaan semua ambik tahu sehingga Menteri respon dan selesaikan isu dalam agensi ni.
Kita tak ada kuasa, tapi ahli parlimen kita ada kuasa yang kita bagi. Emel ahli Parlimen masing-masing tak kira parti mana dan CC email tu kepada menteri berkenaan beserta KSU dia sekali. Sorang dua tak jadi. Ahli parlimen ni BOLEH TANYA MENTERI KAT PARLIMEN; “DEIII, APA HAL KEMENTERIAN LU BRADER, APA PASAL MACAM NI?” (Sekarang tak la kot sebab Parlimen digantung sampai Ogos, hik hik hik)
Kena ramai-ramai nyatakan dengan jelas agensi ni gagal buat apa, contohnya kes apa, kepincangan kat mana dan macam-mana merugikan rakyat. SAMPAI MENTERI RESPON baru first step. LEPAS TU KENA TUNGGU PERUBAHAN YANG BETUL. Lepas tu repeat lagi. Kalau MP tak respond dan bersama kita meminta perubahan, pastikan jangan undi dia dah lepas tu. Kempen melawan dia next election sebab dia tak menyokong pengundi dia. Sbb puncanya ahli politik ni semua nak undi je, lain belakang kira. Apabenda saja yang dia boleh buat untuk dapat sokongan dia akan buat. Termasuklah menyuarakan tak puas hati pengundi kawasan dia. Susah apa, free ja. Just kena reply balik kat siapa yang hantar email dan suarakan apa yang pengundi dalam parlimen dia tak puas hati. Tu lah antara tugas hakiki Ahli Parlimen korang.
Ni lah demokrasi yang kita amalkan. Kena rajin, sebab rakyat malas atau tak berpelajaranlah negara-negara lain banyak melingkup. Jadi la macam banyak negara-negara mundur yang rakyat dah tak ada kuasa. Kalau rajin menulis komen, mesti boleh menulis email. Seayat dua sahaja pun takpa janji jelas tak puas hati tang mana. Ni semua tanggungjawab bersama – semua rakyat terutamanya geng UNDI18. Adik-adik kena tahu hak adik-adik walaupun tak minat politik. Tanggungjawab aku cuma bagi contoh kepincangan agensi sebenar yang berlaku pada kes aku saja. Aku cikgu! Tugas hakiki aku memang mendidik. Janganlah marah kat aku. Dalam sistem demokrasi, kepincangan agensi dan pemimpin tu sebahagiannya adalah SALAH RAKYAT yang tak cakna dengan kepincangan dan tak suarakan tak puas hati dengan jelas kepada Ahli Parlimen masing-masing.
Suarakan dengan kuat! Tak caya cuba korang beramai-ramai emel tanya Menteri KPDNHEP, kenapa Prosedur TTPM dan KPDNHEP teruk macam ni? Bolak balik sana sini, dan enggan ambil kes dan enggan siasat? MINTA SEBAB DAN ALASAN DAN BAGITAHU SISTEM NI MENZALIMI RAKYAT. CC kan kat ahli Parlimen korang, tengok dia reply tak. Kalau seratus orang email benda sama dalam seminggu pun aku agak dia dah tak senang duduk.
Bila kesedaran kuasa mengadu rakyat meminta perubahan ni dah berkembang pesat, maka tercapailah syarat kemenangan terhadap root cause ni. Selagi rakyat malas nak email menteri dengan ahli parlimen, belum tercapai. Ntah berapa dekad la agaknya nak capai objektif ni.
Macam tu lah roadmap aku. Aku bukan nak berkempen ni. Aku cikgu. Aku nak mengajar ilmu tanggungjawab sivik tu bukan setakat kitar semula je atau jangan conteng dinding tandas awam dengan nombor telefon ex girlfriend korang. Ini tanggungjawab sivik yang berkuasa untuk merubah agensi-agensi ni. Terutama lagi banyak pihak-pihak tak puas hati dah berkumpul dalam satu-satu isu viral macam ni. GUNAKANLAH PELUANG UNTUK LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KORANG. Tu pun kalau korang betul nak isu agensi dah bolos reput dan tak kompeten ni berubah la. Kalau tak nak, dok diam dan biar je mereput agensi ni sampai kita jadi Zimbabwe atau Venezuela. Pilihan dan kuasa merubah keadaan itu ditangan korang.
——————————————————-
TARIKH KEPUTUSAN KES TANGGUH LAGI!
Tunggu punya tunggu punya tunggu Pak-Pak Menteri putuskan, 9hb November 2020 CMCO diperketatkan di Kuala Lumpur & Selangor. Semasa CMCO diperketatkan, pendengaran Tribunal tak boleh berlangsung maksudnya aku takkan dapat keputusan kes aku. CMCO diperketatkan ni berlarutan sampai 14 Januari 2021. Maksudnya kes aku tangguh lagi. Kali ni sampai 13 April 2021 pulak. Adeiii…. Stress aku dah tak boleh tunggu dah. Aku buka website SPRM laporan online. Aku nak jalankan tugas sebab tempoh CMCO Diperketatkan dah nak berakhir.
Jeng jeng jenggggg….
14hb Januari 2021 – LAPORAN BIRO PENGADUAN AWAM dan SPRM
BPA No1 : PEMBANTU PEGAWAI PENYIASAT PDRM BERSEKONGKOL DENGAN WAKIL BENGKEL PENIPUAN KEMALANGAN
1. Pada 1hb NOVEMBER 2019 kereta Proton Persona ******* kemalangan akibat dilanggar dari belakang.
2) Saya membuat laporan polis di BP Trafik Shah Alam. Laporan Polis Kemalangan TRAFIK SHAH ALAM/03****/**)
3) SJN *** ******* *** ****** (R******) iaitu Penolong Pegawai Penyiasat kes kemalangan tersebut telah dengan salah memberikan nombor telefon saya kepada seorang wakil bengkel proton yang sebenarnya bukan wakil bengkel proton. Kejadian ini berlaku di Cawangan Trafik Balai Polis Shah Alam.
4. Perlakuan Penolong Pegawai Penyiasat ini telah menyebabkan saya ditipu oleh wakil bengkel tersebut dan kini kereta saya telah lebih setahun dalam sebuah bengkel yang bukan bengkel proton.
5. Saya mengesyaki ada ada elemen rasuah atau salah laku berlaku disini antara wakil bengkel proton palsu tersebut dan Penolong Pegawai Penyiasat yang telah memberikan maklumat saya kepada wakil tersebut.
6) Kes penipuan ini telah dibuat laporan kepada kes KPDNHEP no rujukan 02******.
——————————————————-
BPA NO 2; PDRM MENOLAK UNTUK MENYIASAT KES PENIPUAN BENGKEL
1. Berkait dengan laporan kepada BPA rujukan kes bernombor PCB.2***** (Kes AIO yang dilapor tadi);
2. Kereta saya yang kemalangan telah terlibat dengan satu kes penipuan oleh wakil bengkel proton palsu yang dibantu oleh seorang Penolong Pegawai Polis cawangan trafik Shah Alam (Rujuk kes PCB.2*****)
3. Setelah mengetahui akan penipuan tersebut, saya telah membuat laporan polis berkenaan penipuan itu pada tarikh 17 Disember 2019 di balai polis Kelana Jaya, Selangor dengan nombor repot SRI MUDA/*****/**.
4. SM ****** BIN ****** (R1*****) daripada Balai Sri Muda telah mengarahkan supaya saya mengambil Surat Keputusan Repot Polis di Pondok Polis Taman Sri Muda.
5. Dalam keputusan report polis tersebut, PDRM telah merujukkan kes saya kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dalam surat Rujuk Lain Agensi bertarikh 17 Disember 2019.
6. Pada 15 Januari 2020 saya telah pergi ke Kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Shah Alam seperti diarahkan oleh polis, namun ditolak oleh Tribunal dan saya diarahkan oleh petugas dikaunter Tribunal untuk membuat laporan terlebih dahulu kepada Bahagian Aduan, KPDNHEP Selangor. (Lampiran bukti rakaman terlalu besar untuk dikepilkan disini) Alasan penolakan tersebut kerana kereta saya berada dalam pembaikan pembiayaan insurans.
7. Saya tidak berpuas hati dengan tatacara, tindak tanduk dan penolakan tanpa sebarang sebab surat rasmi oleh Petugas kaunter Tribunal Tuntutan untuk menolak saya kepada bahagian lain.
——————————————————-
BPA NO3; KPDNHEP TIDAK MEMBERIKAN MAKLUMBALAS KES SEHINGGA DIHUBUNGI PENGADU, ENGGAN MENGAMBIL TINDAKAN TERHADAP LAPORAN DAN ENGGAN MENYEDIAKAN SEBARANG RUJUKAN RASMI KEPADA LAIN AGENSI.
1. Berkait dengan laporan kepada BPA rujukan kes bernombor PCB.2****** dan kes bernombor PCB.26*****;
2. Selepas diarahkan oleh PDRM untuk merujuk kes saya kepada Tribunal Tuntutan Pengguna dan selepas ditolak oleh Tribunal Tuntutan Pengguna untuk membuka kes saya telah membuat laporan penipuan pengguna kepada KPDNHEP pada 15 Januari 2020 kes bernombor 02*****;
3. Penerima aduan dan email pengesahan aduan jelas menyatakan keputusan siasatan dan maklumbalas untuk tindakan selanjutnya akan keluar dalam tempoh 21 hari bekerja daripada tempoh aduan.
4. Selepas lebih dari tempoh 21 hari bekerja, tiada sebarang maklumbalas diberikan kepada saya untuk tindakan selanjutnya maka saya menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Encik ***** pada 26 Feb 2020.
5. Selepas bertanyakan maklumbalas kes saya, En ***** telah mengarahkan saya mendaftarkan tuntutan ke Tribunal Tuntutan Pengguna atau mengemukakan saman kepada pihak yang menipu saya di Mahkamah.
6. Selepas mendapat tahu kos mahkamah yang terlalu tinggi, saya telah ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia seperti yang diarahkan oleh En ***** sebelumnya untuk mendaftarkan tuntutan sekali lagi pada tarikh 10 Mac 2020.
7. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah menolak sekali lagi dengan alasan yang sama iaitu apabila berkaitan dengan urusan syarikat insurans maka Tribunal tidak boleh mendaftarkan tuntutan.
8. Saya telah menghubungi En ***** dan dia telah berjumpa dengan saya di Kaunter Tuntutan Tribunal Pengguna dan menerangkan bahawa KPDNHEP tidak dapat mengambil apa-apa tindakan berkenaan kes saya (Rujuk Lampiran Kronologi Kes) kerana kereta saya walaupun jelas ada unsur-unsur penipuan pengguna dalam kes ini.
9. Apabila saya meminta sebarang rujukan atau surat tutup kes secara rasmi untuk menutup proses flow kes saya dengan KPDNHEP En ***** telah menolak untuk memberikan saya sebarang dokumen rasmi penutupan kes, maka saya berkeras meminta surat tersebut agar saya dapat mengadu kepincangan ini kepada pihak atasannya. En ***** kemudiannya membawa saya bertemu penyelianya iaitu En **** untuk berbincang berkenaan ini.
10. Saya juga mempertikaikan kenapa tidak meminta sebarang bukti atau penjelasan dari saya dalam siasatan ini dan terus mengambil jalan mudah memihak kepada bengkel senyap-senyap tanpa memberitahu saya, saya tidak diberikan sebarang jawapan.
11. Dalam pertemuan dengan En **** ini saya telah diberitahu olehnya bahawa KPDNHEP tidak ada sebarang kuasa untuk masuk campur dalam kes ini dan sepatutnya di laporkan kepada Pihak Polis. Saya bersetuju lalu meminta surat Rujukan Luar Agensi daripada KPDNHEP kepada PDRM untuk membawa kembali aduan saya kepada PDRM.
12. En **** berkeras tidak akan mengeluarkan sebarang rujukan kepada mana-mana agensi dengan alasan ini bukan prosedur KPDNHEP. Setelah didesak oleh saya dengan mengatakan pengurusan kes ini tidak kena, tidak mengikut proses flow yang profesional dan perkara ini menyebabkan persepsi orang awam seperti saya untuk mengesyaki bahawa pihak KPDNHEP telah dirasuah oleh bengkel-bengkel terlibat, akhirnya En **** telah memberikan 3 saranan kepada saya iaitu;
a- Saya membawa perkara ini ke membawa perkara ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna sekali lagi,
b- Saya membuka kes di Mahkamah Tinggi untuk membuat saman kepada pihak yang menipu saya,
c-Jika saya masih tidak berpuas hati saya boleh melaporkan perkara ini ke Biro Pengaduan Awam.
13. Saya beritahu En **** bahawa kos untuk menyaman penipuan ini amatlah tinggi dan kes saya ini menurut siasatan saya sendiri bukanlah penipuan pertama yang serupa jadi satu-satunya cara untuk mendapatkan keadilan adalah menerusi tindakan undang-undang dari agensi kerajaan bukan saman persendirian, selain tu perkara ini juga melibatkan elemen-elemen jenayah yang bukan dibawah undang-undang sivil. Saya mohon kepada En ***** supaya mengeluarkan sebarang keputusan secara rasmi dan bertulis untuk tujuan paper trail dan tidak membiarkan hal ini tergantung secara lisan begini kerana ini prosedur yang tidak boleh diterima undang-undang.
14. En **** kemudiannya juga bersetuju menyuruh En ***** mengeluarkan email rasmi kepada saya merujuk kes saya kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan nombor rasmi rujukan kes saya. (rakaman perbualan ini terlalu besar untuk dikepilkan dalam laporan ini)
15. Semasa sedang berbincang dengan beberapa pengamal media, wakil politik dan NGO2 yang berhasrat membongkarkan kepincangan dalam cabang kerajaan ini, saya diberi maklum bahawa sistem E-Tribunal KPDNHEP telah mula Online dan boleh menerima aduan tanpa melalui kaunter TTPM.
16. Selepas beberapa percubaan saya telah berjaya mendaftarkan tuntutan saya secara online melalui TTPM Kuala Lumpur dan diberikan no kes TTPM-WP-(P)-***-**** pada 20 May 2020. Susulan itu, saya menangguhkan sebarang hasrat untuk mendedahkan kepincangan serius ini melalui tindakan media, perundangan dan politik demi menghormati proses perundangan tribunal.
17. Untuk makluman, kes ini telah diterima oleh TTPM Kuala Lumpur dan diklasifikasikan sebagai semenjak pendengaran kes iaitu 18 Ogos 2020 dan dua perbicaraan tribunal kes ini masih belum mendapat sebarang keputusan dari Tribunal dan kereta saya masih ditahan di bengkel yang menipu saya, walaupun kes ini sepatutnya di selesaikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemfailan.
18. Walaupun perjalanan kes ini menyebabkan saya kehilangan semua kepercayaan kepada cabang eksekutif Kerajaan dan menganggap penjawat-penjawat awam terutama sekali dalam cabang penguatkuasaan kebanyakannya adalah korup dan tidak berminat untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara, sebagai rakyat yang bertangggungjawab saya masih mengemukakan laporan ini kepada pihak BPA seperti disarankan oleh En **** dahulu dengan harapan untuk diambil tindakan tegas.
——————————————————-
Akhir sekali tak lupa aku MENCUBA NASIB DENGAN SPRM.
Sebelum aku lapor kes Big Boss Ideal Globe Auto tu, aku nak lapor kes AIO dulu. Textnya lebih kurang saja la dengan text sama aku hantar kat BPA. Cuma kali ni hantar dalam sistem online SPRM. Kemudian aku tunggu…
——————————————————-
19 Januari 2021 – Dapat emel daripada BPA dulu. Berkenaan kes BPA no 2 diatas ;
Emel ini untuk memaklumkan bahawa maklum balas anda telah ditolak di peringkat saringan.
Anda boleh menyemak maklum balas tersebut secara atas talian melalui laman web sistem aduan.
Untuk Semakan Aduan
Tiket Id : PCB.******
Dokumen Id. : MyKad No. – ***********
Katalaluan : –
Nota Tindakan :
Tuan,
Setelah menyemak aduan ini, Biro Pengaduan Awam (BPA ) mendapati ia merupakan sebahagian kepada kronologi bagi kes PCB.******** berkaitan KPDNHEP. Seperti yang tuan sedia maklum, kes berkenaan sedang dikendalikan oleh BPA dan tuan telah diberi nasihat mengenai perancangan siasatan yang bakal dijalankan.
Justeru, aduan PCB.****** ini tidak akan dikendalikan selanjutnya oleh kami.
OKEY… Pasal aku lapor kat BPA tentang Polis tak nak siasat, taichi kat Tribunal dan tribunal pulak tai chi tanpa surat ke KPDNHEP Penguatkuasaan, BPA REJECT DIPERINGKAT SARINGAN sebab dia anggap satu kes dengan laporan BPA No 3 diatas, iaitu laporan terhadap KPDNHEP. Alright strike 1. Takpe ada 2 lagi kes.
——————————————————-
20 Januari 2021 – Dapat emel dari BPA lagi. Kali ni berkenaan BPA No 1 – AIO dgn LONGKAI bersekongkol.
Tuan/Puan,
KES PCB.2******: Pembantu Pegawai Penyiasat PDRM bersekongkol dengan wakil bengkel penipuan kemalangan
Saya dengan hormatnya diarah merujuk kepada aduan tuan/puan di atas.
2. Untuk pengetahuan tuan, bidang Biro Pengaduan Awam (BPA) adalah untuk menyemak dan menyiasat aduan berkaitan mutu perkhidmatan agensi kerajaan yang dilanggani oleh pengadu.
Setelah menyemak aduan ini, BPA mendapati terdapat dua jenis perkhidmatan yang tuan langgani iaitu:
(i) siasatan ke atas kemalangan (oleh PDRM); dan
(ii) siasatan terhadap syarikat pembaikpulih kenderaan (oleh KPDNHEP).
3. Berkaitan dengan perkara (i), menerusi dakwaan tuan, kami merumuskan bahawa isu utama yang diadu adalah salah laku anggota PDRM dengan cara bersekongkol dengan syarikat pembaikpulih kenderaan.
4. Bagi tujuan ini, kes tuan ini memerlukan tindakan siasatan oleh Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, BPA akan memanjangkan aduan tuan ke JIPS agar tindakan siasatan dapat dijalankan oleh jabatan berkenaan.
5. Oleh yang demikian, BPA akan meminta agar JIPS membuka kertas siasatan terhadap anggota yang diadukan. Oleh kerana siasatan JIPS merupakan satu prosedur yang berasingan, maka BPA akan menghentikan pengendalian aduan ini di peringkat kami setelah JIPS memulakan siasatan tersebut.
6. Seterusnya, berkaitan perkara (ii), BPA mendapati tuan ada membuat aduan yang berasingan. Sehubungan dengan itu, kami akan menasihatkan tuan menerusi kes PCB yang berkenaan.
Sekian, terima kasih.
Allright. Dia nak rujuk kes ni ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM. Takde masalah. Janji tak matikan kes macam tu je.
——————————————————-
20 Januari 2021 – Laporan BPA No3 – Pasal KPDNHEP tak nak buat siasatan keatas bengkel, tak bagi feedback kat aku dan tan nak bagi surat rujukan rasmi ke lain agensi;
Tuan,
KES PCB.2******: KPDNHEP tidak memberikan maklumbalas kes sehingga dihubungi pengadu, enggan mengambil tindakan terhadap laporan dan enggan menyediakan sebarang Rujukan rasmi kepada lain agensi.
Saya dengan hormatnya diarah merujuk kepada aduan tuan/puan di atas.
2. Seperti yang tuan sedia maklum, bidang Biro Pengaduan Awam (BPA) adalah untuk menyemak dan menyiasat aduan terhadap mutu perkhidmatan agensi kerajaan yang dilanggani oleh pengadu.
3. Setelah menyemak aduan ini, BPA mendapati kes ini mempunyai asas untuk disiasat oleh kami. Ini kerana, adalah didapati pengadu merupakan pelanggan kepada KPDNHEP menerusi dua perkhidmatan iaitu:
(i) pemfailan kes dengan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bernombor rujukan tuntutan?TTPM-WP-(P)-***-****; dan
(ii) aduan yang pengadu kemukakan ke KPDNHEP dengan rujukan 02******.
4. Seterusnya, dengan merujuk kepada kronologi seperti yang dinyatakan menerusi aduan tuan, maka ulasan awal BPA adalah seperti berikut:
(i) urusan tuan dengan KPDNHEP berkaitan pertikaian tuan kini telah sampai ke peringkat perbicaraan TTPM. Oleh yang demikian, BPA akan meminta penjelasan dari TTPM Kuala Lumpur mengenai kedudukan tuntutan?TTPM-WP-(P)-***-**** serta sekira terdapat sebarang alasan mengapa berlaku penangguhan dari segi tarikh perbicaraan; dan
(ii) berkaitan dengan aduan ke KPDNHEP rujukan 02******, berpandukan penerangan di dalam perkara (i) di atas, BPA melihat urusan di peringkat tersebut telah selesai. Namun bagi tujuan penjelasan, kami akan meminta KPDNHEP untuk mengemukakan asas pertimbangan yang dirujuk oleh KPDNHEP untuk menasihat tuan agar membuat tuntutan dengan TTPM.
5. BPA akan memanjangkan inkuiri-inkuiri di atas untuk ulasan KPDNHEP dan pegawai kami akan berhubung sekira terdapat sebarang perkembangan.
Sekian, terima kasih.
Hurmmmmmmmm… macam ada PERUBAHAN NARATIF jugak dalam ni. Aku tak minta dia siasat pasal penangguhan prosiding Tribunal pun. Kes yang sedang berjalan ni adalah laporan aku melalui sistem online eTribunal. Tak ada isu disini dengan Tribunal KL.
Laporan berkenaan Tribunal Shah Alam yang disatukan dalam kes ni, adalah sebab aku nak BPA siasat dua kali KAUNTER TRIBUNAL SHAH ALAM tolak nak buka tuntutan aku. Dua-dua kali ditolak, itulah yang aku nak dia siasat. Ni macam nak siasat Tribunal KL berkenaan penangguhan kes aku, kan obvious sangat ditangguhkan prosiding pasal CMCO Diperketatkan?
Berkenaan laporan terhadap KPDNHEP pulak aku minta BPA siasat;
1. kenapa KPDNHEP tak bagi maklumbalas kat aku dah habis siasatan,
2. kenapa KPDNHEP tanak siasat bengkel tu, dan
3. kenapa KPDNHEP tak nak bagi surat rujukan rasmi lain agensi…Bukan aku suruh siasat kenapa KPDNHEP bagi email suruh aku buka tuntutan di Tribunal. Adeiiiiiii… ada penyakit jugak ke BPA niiiiiiiii.
Takpelah.. lantak dia lah. Kite nak tengok jerrrrrr. Hik hik.
——————————————————-
29 Januari 2021 – aku dapat emel lagi dari BPA.
Tuan/Puan,
2. Merujuk kepada aduan tuan bagi kes PCB.***** adalah berkaitan. Berikut adalah kronologi berkaitan aduan terhadap tarikh perbicaraan TTPM:
i) kes ditetapkan untuk pendengaran pertama pada 18 Ogos 2020 diikuti sambung bicara pada 24 September 2020;
ii) kes telah selesai untuk pendengaran dan telah ditangguhkan untuk keputusan pada 17 November 2020; dan
iii) susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa pada 17 November 2020, kes ini telah ditangguhkan ke 26 Januari 2021. Bagaimanapun, ianya telah ditangguhkan sekali lagi ke 16 Februari 2021 untuk baca keputusan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 13 Januari sehingga 26 Januari 2021 dan pelanjutan ke 4 Februari 2021
3. Setelah meneliti maklum balas di atas, berikut adalah hasil analisis BPA:
i) proses tuntutan tuan telah dikendalikan oleh TTPM. BPA melihat penangguhan keputusan yang berlaku adalah berdasarkan sebab yang munasabah, iaitu pelaksanaan PKP yang turut memberikan impak kepada seluruh negara; dan
ii) perkhidmatan yang diadu ini masih dalam proses penyampaian. Justeru, BPA berpandangan agar tuan menunggu sehingga perkhidmatan ini selesai melalui proses yang ditetapkan.
4. Berdasarkan analisis di atas, BPA merumuskan kes ini masih berada dalam bidang dan tanggungjawab TTPM dan KPDNHEP untuk menyempurnakan perkhidmatan yang tuan langgani. Justeru, kami mengkategorikan kes ini sebagai ‘Selesai’.
OoooooOooOooo… Selesai… Sempurna dan selesai. Syukurlah… Terima kasih BPA. Korang nilailah sendiri. Tiada yang sempurna, aku pun takkan sempurna. Tapi hati aku syak memang berleluasa gak la PERUBAHAN NARATIF ni dalam sistem aduan agensi-agensi. Takpe. Terima Kasih BPA. Ada jasa dah bagi aku.
——————————————————-
3 Febuari 2021 – Aku terima makluman pulak dari sistem pengurusan laporan SPRM, berkenaan dengan aku minta dia siasat AIO polis Trafik bersekongkol dengan Wakil Bengkel nak menipu Pelanggan. Aku suka jugak sistem dia. Ada maklumat dari Aduan dalam Proses Penerimaan, Aduan Telah Diterima dan Maklumat Aduan Terkini. Bagus, bagus.. aku suka, aku suka, aku sukaaa.. SPRM memaklumkan;
Salam Sejahtera,
Untuk makluman, maklumat tuan telah diterima dan dibawa ke Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) pada 03/02/2021 dan diputuskan maklumat tersebut dirujuk ke Jabatan Integriti & Pematuhan Standard.
Notifikasi ini dijana secara automatik oleh Complaints Management System.
“RASUAH DIHINA, MARUAH DIBINA” “ABHOR CORRUPTION, UPHOLD PRIDE”
Jadinya kedua-dua Aduan aku ke BPA dan SPRM berkenaan dengan Sjn AIO bersekongkol dengan wakil bengkel tu disalurkan ke Jabatan Integriti & Pematuhan Standard lah.. Takpe. Aku bersyukur.. Ada pergerakan juga.
———————————————————-
Sehari sebelum tu aku dah terima surat cinta dari Bahagian Tatatertib PDRM menandakan diorang dah terima laporan dari BPA atau SPRM atau kedua-duanya sekali atau sewaktu dengannya. Bagus dah tu
Ada sikit ‘off’ je la setakat ni dengan kelancaran nak memproses aduan-aduan ni bagi aku. Terutamanya sekali tang PDRM tak mau siasat kes penipuan, KPDNHEP tak mau siasat kes penipuan dan Kaunter Tribunal tak mau terima buka tuntutan aku. Tapi, be POSITIVE, satu dah lepas, tang AIO bersekongkol dengan Longkai tu dah lepas dan diproses dan dah dalam perjalanan untuk ambik tindakan oleh Jabatan Integriti & Pematuhan Standard. Terlepas 3 kes mungkin sangkut 1 kes. Okey lah kot daripada tak dapat apa-apa. Adeiiii…..
18 Febuari 2021 – Aku dapat panggilan dari IPD Shah Alam. Pegawai Jabatan Integriti & Pematuhan Standard dia nak interview aku pada 22hb Feb 2021 nanti. Takde masalah. Aku bersiap.
Bersambung Bahagian 7……….
LINK BHGN 7 : https://www.speedvending.com.my/?p=2036
Leave a Reply